Suspek tempatan bawah pengaruh dadah yang menyamar sebagai polis dan mengambil wang warga asing sebelum melarikan diri dari polis dengan merempuh kenderaan di atas lebuh raya berjaya ditangkap di kediamannya di Klang pada Ahad.Gambar Ihsan: D9 IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Selepas dua hari melarikan diri, seorang lelaki tempatan yang menyamar sebagai polis dan mengambil wang daripada pejalan kaki warga asing sebelum melarikan diri serta cuba merempuh anggota polis akhirnya berjaya ditahan.

Kejadian itu berlaku pada 28 Ogos lalu semasa pengadu seorang lelaki warga asing sedang berjalan kaki di hadapan Apartmen Sri Rakyat Bukit Jalil.

Suspek yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa telah mengambil wang sebanyak RM150.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kejadian itu dilihat dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan lalu menghampiri suspek.

Suspek kemudian memecut keretanya jenis Perodua Myvi putih dengan nombor pendaftaran VEF 5376.

Suspek juga melanggar beberapa kenderaan awam yang berada di laluannya.

“Anggota polis terus mengejarnya hingga ke Jalil Link dan ketika kereta suspek terhalang oleh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat merah, suspek diarah keluar dari kereta.

“Namun suspek bertindak memandu meluru ke arah anggota polis menyebabkan anggota melepaskan empat das tembakan ke arah tayar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhammad Idzam berkata, suspek dapat melarikan diri dengan memandu keretanya menaiki pembahagi jalan dan terus melawan arus menuju ke arah Lebuh Raya Kesas menghala Shah Alam.

Bertindak atas maklumat, lebih kurang 8.50 malam tadi, sepasukan polis dari Bahagan Siasatan Jenayah (D9), IPD Cheras berjaya menahan lelaki tersebut.

Beliau sudah direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307/392 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan telah dibuat oleh pasukan D9 ke atas suspek itu di Taman Sentosa, Klang Selangor.

“Suspek berusia dalam lingkungan 43 tahun dan ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif methamphetamine,” katanya.

Menurut beliau, memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast