Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-14. Gambar - Ihsan Facebook CKY

GEORGE TOWN – Remaja berusia 18 tahun layak bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUNPP) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang antara perkara yang dibentangkan dalam persidangan kali ini.

Bagaimapun, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, keputusan itu akan dibuat sekiranya cadangan itu diluluskan dalam persidangan DUNPP yang bermula hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berbesar hati dengan kelulusan penggubalan undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi penurunan had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Jelasnya, rang undang-undang (RUU) itu memperuntukkan kelayakan umur bagi menjadi anggota Dewan Undangan Negeri hendaklah 18 tahun atau lebih.

“RUU ini bagi membolehkan individu berumur 18 tahun ke atas dijadikan calon pada Pilihan Raya Umum akan datang dan perkara ini akan melibatkan pindaan Perlembagaan Negeri.

“Rang undang-undang ini akan dibentangkan dalam persidangan kali ini,”katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-14 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fuzi menegaskan, prestasi pelaburan Pulau Pinang menunjukkan data yang memberangsangkan walaupun negara sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Kata beliau, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan sebanyak RM14.1 bilion merangkumi 166 projek yang dijangka menghasilkan 13,268 peluang pekerjaan baharu kepada negeri pada tahun lalu.

“Pelaburan langsung asing menyumbang 75 peratus atau sebanyak RM10.6 bilion, manakala pelaburan langsung domestik melonjak 92 peratus tahun ke tahun kepada RM3.5 bilion.

“Walaupun terdapat banyak ketidakpastian global, pencapaian pelaburan tahun 2020 adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah Pulau Pinang.

“Pada suku tahun pertama 2021, Pulau Pinang telah mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM1.1billion bagi sektor pembuatan dan nilai pelaburan ini diperolehi daripada 40 buah projek dan dianggarkan akan mewujudkan sebanyak 2,328 peluang pekerjaan baru,” kata Ahmad Fuzi.

Tanbah beliau, sebanyak 52 peratus nilai pelaburan berasal daripada pelaburan langsung domestik dan 48 peratus daripada pelaburan langsung asing. – MalaysiaGazette