Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Sebanyak 59 peratus atau RM185.9 bilion daripada peruntukan berjumlah RM314.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 telah digunakan.

Peruntukan bagi perbelanjaan mengurus, pembangunan dan Kumpulan Wang Covid-19 adalah sebanyak RM322.5 bilion sebelum dipinda kepada RM314.8 bilion.

Daripada jumlah itu sebanyak RM219.6 bagi perbelanjaan mengurus, pembangunan (RM68.2 bilion) dan Kumpulan Wang Covid-19 (RM27 bilion).

Faktor yang menyumbang kepada prestasi perbelanjaan yang sederhana ini berikutan pelaksanaan PKP 3.0 yang mengehadkan pengoperasian kebanyakan sektor ekonomi.

Contohnya, hanya 16% daripada permohonan sektor pembinaan boleh beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0, menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Prestasi perbelanjaan mengurus sehingga Julai 2021 adalah sebanyak RM134.6 bilion.

Selaras dengan matlamat pertama Belanjawan 2021 iaitu mengenai kesejahteraan rakyat, tumpuan perbelanjaan adalah bagi sektor sosial yang melibatkan perbelanjaan berkaitan kesihatan dan bantuan kebajikan rakyat.

Kenyataan Pra-Bajet 2022 itu berkata, prestasi perbelanjaan pembangunan bagi tujuh bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM31.0 bilion.

Sektor ekonomi mencatatkan perbelanjaan terbesar setakat Julai 2021, sejajar dengan matlamat ketiga Belanjawan 2021 iaitu ‘ketahanan ekonomi’ bagi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan bermakna.

Komponen perbelanjaan terbesar dalam sektor ekonomi meliputi subsektor pengangkutan, kewangan dan pertanian.

Manakala prestasi perbelanjaan Kumpulan Wang Covid-19 sehingga Julai 2021 adalah sebanyak RM20.3 bilion.

Selaras dengan matlamat utama kerajaan melalui pelaksanaan pakej rangsangan dan pemulihan yang diumumkan iaitu untuk membantu rakyat yang terkesan berikutan pandemik Covid-19, maka perbelanjaan terbesar melibatkan sektor sosial meliputi pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat, Jaringan Prihatin dan bantuan kebajikan. – MalaysiaGazette