Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sasaran defisit dianggarkan meningkat kepada 6.5% hingga 7.0% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini susulan pembukaan ekonomi secara berfasa diikuti perbelanjaan fiskal yang berterusan.

Operasi fiskal telah dan akan disokong melalui rasionalisasi perbelanjaan dengan mengutamakan pakej bantuan tambahan bagi memperkukuh sektor kesihatan dan ekonomi, menurut Kenyataan Pra-Bajet 2022.

Langkah ini termasuk menangguhkan pelaksanaan beberapa program dan projek, menyekat perbelanjaan yang tidak kritikal berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengoptimumkan operasi di bawah norma baharu untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

Selain itu, kekurangan hasil dijangka dapat diimbangi oleh kutipan lebih baik daripada hasil berkaitan komoditi berikutan harga minyak mentah dan sawit yang lebih tinggi.

Kerajaan juga telah memanfaatkan sebahagian daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk menyegerakan pelaksanaan program vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok yang seterusnya akan mendorong pemulihan ekonomi lebih pantas.

Langkah sokongan menerusi pelbagai instrumen fiskal lain akan turut membantu kerajaan dalam menyeimbangkan antara keperluan perbelanjaan dan kemampanan fiskal.

Menurut kenyataan itu, dalam jangka masa sederhana, trajektori konsolidasi fiskal akan bergantung pada pemulihan dari krisis kesihatan dan ekonomi.

”Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada langkah untuk mengembalikan landasan pertumbuhan negara kepada tahap potensi bagi membolehkan rakyat dan perniagaan menyesuaikan diri dengan norma baharu serta meningkatkan pelaburan bagi menjana pertumbuhan masa hadapan ke arah menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memberi keutamaan dalam menyediakan sokongan fiskal di samping mengimbangi kesan krisis yang berpanjangan kepada sistem kesihatan dan ekonomi terhadap generasi akan datang.

Pembaharuan fiskal akan terus dilaksanakan untuk memastikan kemampanan fiskal. – MalaysiaGazette