kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kampung terlibat masing-masing dua di Sabah dan Pahang dengan tempoh PKPD selama dua minggu bermula 2 hingga 15 September ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mengambilkira penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) serta trend jangkitan Covid-19, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kampung.

Kampung terlibat masing-masing dua di Sabah dan Pahang dengan tempoh PKPD selama dua minggu bermula 2 hingga 15 September ini.

Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad, empat lokaliti itu ialah Kampung Narawang dan Kampung Mininsalu Baru (Pasir Putih) di Ranau, Sabah.

Dua lagi ialah Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian dalam Mukim Bebar, Pekan, Pahang.

Kata beliau, kerajaan juga bersetuju melanjutkan tempoh PKPD di Taman Ria Height, Tawau, Sabah sehingga 15 September ini, selepas meneliti analisa oleh KKM mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan.

Sementara itu, kata Rodzi, selepas meneliti pembentangan KKM mengenai situasi semasa Covid-19, kerajaan turut meluluskan penamatan PKPD di beberapa lokaliti di Pahang dan Sabah mulai esok, 1 September.

Lokaliti ditamatkan itu ialah Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Temerloh dan Ladang Selbourne, Mukim Gua, Lipis, Pahang.

Di Sabah melibatkan Kampung Payas-Payas di Kota Belud, Beverly Hills Fasa 3 dan Regency Park di Penampang, Kampung Iburu dan Kampung Melingan di Sipitang serta Kompleks Baiduri Ayu, Felda Sahabat 9 di Lahad Datu.

Turut ditamatkan ialah Perumahan Pekerja Ladang Moynod 1 di Beluran, Kampung Kulambai, Kampung Kulambai Kupang dan Kampung Kulambai Dundau di Kota Belud. – MalaysiaGazette