Chitradevi menunjukkan laporan polis yang dibuatnya bagi menuntut siasatan penuh berhubung kematian ayahnya. - Gambar Facebook Ramasamy.

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy mendesak Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo meletak jawatan ekoran kes kematian seorang pesakit di Hospital Lama Sungai Petani yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Selain itu, Ramasamy turut menggesa Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin mengambil tindakan terhadap mereka yang cuai sehingga menyebabkan kehilangan nyawa seorang pesakit.

Ramasamy mendakwa pesakit Covid-19, K. Ehambaran, 74, dapat diselamatkan sekiranya ada kakitangan perubatan yang ditempatkan di wad hospital tersebut.

Dr. P. Ramasamy

“Berdasarkan maklumat daripada Chitradevi (anak mangsa) ayahnya dimasukkan ke hospital berkenaan pada 26 Ogos lalu berikutan Covid-19.

“Susulan itu, pada 29 Ogos anaknya itu diberitahu oleh salah seorang kakitangan hospital bahawa pesakit (ayahnya) berada dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun, dia hanya mengetahui kematian ayahnya melalui video di WhatsApp semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, anak mangsa membuat laporan polis hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung kematian ayahnya susulan dia mengesyaki mangsa meninggal dunia disebabkan jatuh dari katil atas kecuaian pihak hospital.

“Dia juga mahu pihak hospital menyiasat kecuaian yang berlaku seperti mana terpapar menerusi video tular di media sosial,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, Pengarah Kesihatan Negeri memberitahu bahawa siasatan penuh akan dilakukan untuk mengetahui punca kematian, namun hari ini beliau menolak tuduhan kononya tidak ada kakitangan hospital tampil membantu pesakit tersebut.

“Sepatutnya siasatan penuh perlu dilakukan bagi memastikan gambar sebenar kejadian tersebut dan kakitangan hospital yang cuai harus dipecat.

“Sekiranya, Othman tidak dapat memikul tanggungjawab dalam kes ini, beliau perlu mengundur diri secara terhormat,” kata Ramasamy.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Jabatan Kesihatan Kedah akan menjalankan siasatan lebih mendalam mengenai insiden seorang pesakit Covid-19 yang jatuh dan meninggal dunia di wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, semalam.

Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, orang ramai tidak sepatutnya menularkan video mengenai kejadian itu kerana ia akan menimbulkan prasangka dan kekeliruan berhubung punca kejadian.

Katanya, ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia juga telah dimaklumkan oleh pihak hospital mengenai kejadian itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast