GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai halangan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin.

Bagaimanpun, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow menjelaskan perlaksanaan itu bergantung kepada analisa dan keputusan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Chow Kon Yeow.

Jelas beliau, pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengatur program saringan Covid-19 selepas 25 kes positif dikesan di penempatan PPR berkenaan.

“Kita tiada halangan untuk pelaksanaan PKPD seperti diminta oleh wakil penduduk tetapi keputusan itu perlu dibuat JKNPP dan saringan ini akan menentukan keputusan PKPD itu.

“Selain itu, kita juga turut menyumbang dana dan bekerjasama dengan pengurusan surau di perumahan ini bagi menyediakan bekalan makanan serta bahan mentah kepada penduduk yang menjalani kuarantin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ujian saringan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut.

Terdahulu, kira-kira 2,000 penduduk PPR berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19 susulan peningkatan kes positif Covid di lokasi berkenaan.

Sebelum ini, wakil penduduk menyatakan keresahan mereka akibat peningkatan jangkitan itu selain memohon pelaksanaan PKPD di PPR terbabit.

Terdapat 360 unit kediaman di perumahan tersebut dan kebanyakannya adalah berstatus B40. – MalaysiaGazette