Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menunjukkan laporan polis selepas membuat tiga laporan polis berlainan berkaitan isu penghinaan kepada agama Islam dan isu jaminan vaksinasi ke atas rakyat ketika di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas susulan tular beberapa buah video di laman sosial yang dianggap mengelirukan dan menghina agama Islam.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, video yang di muat naik menerusi platform Youtube dan Facebook itu membabitkan seorang individu wanita tidak dikenali.

Menurutnya, kandungan video-video tersebut yang digelar sebagai Perjalanan Mimpi Yang Terakhir dikhuatiri boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Di dalam video berkenaan bukan sahaja individu terbabit mendakwa pernah bertemu Rasulullah SAW malah turut mendakwa bermimpi mengenai satu letupan yang kuat.

“Video-video ini bukan sahaja tular di Youtube malah sudah tersebar di laman Facebook yang kita sendiri khuatir ada yang bakal terpedaya,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi hari ini.

Justeru Abdul Rani menggesa, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta jabatan agama di setiap negeri untuk mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan berkenaan.

Tambah Abdul Rani, tindakan tegas juga harus dikenakan terhadap individu yang bertanggungjawab cuba menyebarkan fahaman sedemikian.

“Tugas kami hanya buat laporan polis supaya ada tindakan yang bakal diambil selepas ini, tetapi sama ada video tersebut sebarkan ajaran sesat atau sebaliknya itu jabatan agama atau Jakim sendiri yang perlu tentukan serta siasat,” ujarnya.

Tambah Abdul Rani lagi, satu memorandum juga akan dihantar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan isu sama dalam masa terdekat.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran dikenali sebagai Perjalanan Mimpi Yang Terakhir dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam.

Dipercayai wanita berkenaan turut aktif menyebarkan fahaman tersebut menerusi laman Telegram.

Dalam perkembangan berlainan, Abdul Rani berkata, satu laporan polis berlainan turut dibuat bagi mendesak kerajaan supaya menjadi lebih telus dalam isu berkaitan jaminan vaksinasi ke atas rakyat.

“Ya, kita faham bahawa rakyat memerlukan perlindungan diri ketika musim pandemik Covid-19 ini tetapi apa jaminannya terhadap rakyat sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan selepas menerima suntikan vaksinasi.

“Oleh sebab itu, kami gesa kerajaan baharu sekarang ini untuk ambil tindakan lebih berani dan bertanggungjawab supaya rakyat tahu bahawa ada nya jaminan untuk mereka, termasuklah kanak-kanak sekolah yang bakal divaksin kelak,” katanya. – MalaysiaGazette