Seorang pereka dalaman sambilan, Raja Nadirah Zawani Raja Zaman, 36,(dua,kiri) menghadiahkan jambangan coklat dan kek yang digubahnya sendiri kepada Timbalan Pengarah HSA Bahagian (Perubatan) Dr Sharath Chandran (tengah) untuk diberikan kepada petugas barisan hadapan di hospital berkenaan sebagai tanda penghargaan bagi mengenang jasa mereka yang telah bertungkus lumus bekerja semenjak pandemik melanda negara.–fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU – Pelbagai cara untuk menyambut Hari Kemerdekaan  berikutan penularan Covid-19 yang melanda negara masa kini.

Begitu juga dengan seorang pereka dalaman sambilan yang memilih untuk meraikan sambutan kali ini dengan menghargai barisan petugas  hadapan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

Raja Nadirah Zawani Raja Zaman, 36,  menghadiahkan jambangan coklat dan kek kepada petugas barisan hadapan di hospital berkenaan.

Ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih sebagai mengenang jasa mereka yang telah bertungkus lumus bekerja sejak pandemik melanda.

“Sejak tahun lepas lagi petugas barisan hadapan bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab demi keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Jadi saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk memberi hadiah kepada mereka sebagai tanda penghargaan buat mereka.

“Walaupun mungkin cara ini sederhana tetapi ini yang saya mampu lakukan sebagai terima kasih saya kepada insan yang banyak bekorban,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada barisan hadapan di Hospital HSA di sini hari ini.

Lebih istimewa, katanya, jambangan coklat dan kek yang diberikan merupakan air tangannya sendiri.

“Sebenarnya itu   juga sebahagian antara produk yang dijual bagi perkhidmatan penghantaran hadiah dan kek ‘Soul Sisters Squad’ yang dijalankannya bersama keluarga, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, Komander Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia di HSA, Mejar Dr Mohd Khir Rezza berkata, pemberian itu sudah pastinya diterima dengan hati terbuka dan  memberi kegembiraan buat barisan hadapan.

“Ribuan terima kasih di atas penghargaan dan semangat yang diberikan ini kepada kami. Negara telah bebas daripada penjajah, tetapi tidak virus Covid-19, jadi saya harap orang ramai dapat terus menjaga diri dan juga keluarga,  serta patuh prosedur operasi standard (SOP) untuk kita putuskan rantaian bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, bagi Timbalan Pengarah HSA Bahagian (Perubatan) Dr Sharath Chandran  berkata, sumbangan itu mungkin dilihat kecil di mata orang ramai namun beliau menganggapnya istimewa kerana masyarakat masih mengenang budi dan pengorbanan insan seperti mereka.

“Apa sahaja sumbangan kita terima dengan rasa syukur, kerana ia sedikit sebanyak memberi semangat buat semua warga HSA. Saya berharap semoga kita semua sama-sama dapat berdoa agar negara kuta terus aman daripada kencaman Covid-19 ini,”katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast