Datuk Seri Mahdzir Khalid. Foto HAFIZ SOHAIMI,01 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dijangka mengadakan usahasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk meningkatkan capaian internet di kawasan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid sendiri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam masa terdekat bagi tujuan itu.

“Kita boleh kolaborasi dengan KKMM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di mana mereka mempunyai talian bekalan elektrik dan gentian optik boleh membantu meningkatkan capaian internet di luar bandar.

“Kita akan tengok data yang ada daripada KKMM, terutamanya di Sarawak, atau mana-mana kawasan yang nak kita mulakan.

“Tapi kena mula sesuatu, kalau tidak ia akan kekal seperti sekarang, di sana ada program Jendela di KKMM dan sebab itu kita nak kerjasama supaya capaian internet itu boleh ditingkatkan,” katanya pada sidang media di pejabat KPLB hari ini.

Sebagai permulaan, katanya, KPLB boleh menawarkan usahasama itu secara pakej, bergantung kepada capaian internet sedia ada.

“Kita kena tengok capaian internet itu sekarang mengikut daerah, kemudian baru boleh kita fikir berapa kelajuan patut ditingkatkan.

“Data capaian internet mengikut kawasan kita boleh minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah KKMM.

“Akhirnya nanti orang kampung akan dapat capaian internet yang tinggi, sama juga di bandar atau di pinggir bandar,” katanya.

Katanya lagi, sebelum dilaksanakan, pihaknya perlu membuat perancangan terlebih dahulu cadangan itu boleh dilaksanakan.

“Berapa banyak pula belanjawan yang nak digunakan, kita pun tak boleh buat sekaligus, kita lakukan secara fasa demi fasa.

“Perkara ini yang saya fikir patut jadi keutamaan kepada KPLB selepas ini, kalau dulu cakap pasal jalan, dewan, bekalan elektrik dan air.

“Tapi hari ini dia punya permintaan rakyat mahukan sambungan internet, PdPR salah satu contoh mahukan kemudahan ini, perkara ini serius, bukan lagi sesuatu yang mewah tapi ia menjadi sebahagian daripada keperluan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette