Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.

TEMERLOH – Jenazah anggota Tentera Darat Malaysia yang mati lemas dan ditemui di Sungai Pahang hari ini dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini dibedah siasat.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ahli keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa menunggu di perkarangan Bilik Mayat HOSHAS bagi menunggu proses tuntutan jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa.

Difahamkan, proses ujian calit Covid-19 dijalankan terlebih dahulu sebelum proses bedah siasat dijalankan yang mana sampel ujian dibawa ke Hospital Tentera Sultan Mizan melalui jalan darat untuk proses penilaian.

Sejurus itu, proses pengecaman mayat akan dilakukan bagi membolehkan mayat dituntut oleh keluarga allahyarham.

Jenazahnya akan dikebumikan di Kedah.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang, Ir Wan Mohd Zaidi Wan Isa berkata, mangsa ditemui 70 kilometer daripada kawasan eksesais berhampiran Kampung Batu Bor di Bera.

“Operasi mencari dan menyelamat bermula sejurus panggilan kecemasan diterima pada 4.50 petang 29 Ogos lalu. Seramai 116 anggota terdiri daripada pasukan bomba, polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) serta nelayan kampung turut membantu dalam operasi pencarian.

“Pelbagai kaedah dilakukan bagi mengesan jejak mangsa dan akhirnya jasad ditemui pada 7.55 pagi tadi di Kampung Serengkam oleh orang kampung berhampiran sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Ketika ditemui mayat Allahyarham lengkap berpakaian.

Allahyarham dipercayai terjatuh dan lemas semasa latihan Eksais Para Predator Siri 1/2021 di perairan Sungai Pahang yang berlangsung pada Ahad lalu.

Mohamad Azrin merupakan anggota tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) meninggalkan seorang balu dan seorang anak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

TDM sahkan penemuan jasad anggota tentera hilang di Sungai Pahang