Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan belum ada sebarang kelulusan setakat ini untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak pediatrik berusia bawah 12 tahun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia masih di bawah penilaian Agensi Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA), Pihak Berkuasa Kawalan Kesihatan Kebangsaan (NHRA) di Malaysia.

Katanya, sejurus pihaknya sudah menerima data vaksin berkenaan selamat, kemudian ia akan dirujuk kepada jawatankuasa vaksin untuk pertimbangan dan keputusan selanjutnya.

“Bagaimanapun perbincangan saya bersama Pfizer baru-baru ini mendapati mereka memaklumkan kepada kami Pfizer mungkin akan tampil dengan satu vaksin spesifik yang akan digunakan untuk kanak-kanak.

“Vaksin ini akan mempunyai sukatan tahap dos yang berbeza dengan vaksin yang sedang diberikan kepada dewasa ketika ini.

“Jadi, kita masih terlibat dalam proses rundingan bersama Pfizer dan sedang cuba mendapatkan data klinikal untuk melihat vaksin itu selamat untuk diberikan kepada kanak-kanak.

“Maka sehingga kini kita kita belum membuat sebarang keputusan untuk meneruskan pemberian vaksin kepada kanak-kanak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khairy memberi jaminan kepada ibu bapa memandangkan kanak-kanak 12 tahun masih belum boleh diberikan vaksin namun kementerian akan cuba sedaya upaya bagi memastikan guru dan kakitangan sokongan di sekolah, kerani, pekerja kantin, pengawal keselamatan dan pemandu bas sekolah menerima divaksin sepenuhnya.

Katanya, langkah itu akan diuruskan supaya memastikan dan menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selamat untuk kanak-kanak dengan orang yang telah divaksin.

“Dalam konteks ini, sukacitanya saya ingin memaklumkan mengikut angka yang terkini yang diperoleh KKM menunjukkan daripada jumlah guru seramai 412,000 orang, 96.5 peratus daripadanya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Manakala 83.5 peratus guru pula sudah menerima dua dos vaksin lengkap disusuli 84. 8 peratus kakitangan sokongan disekolah telah menerima satu dos dan 68.8 peratus lagi lengkap menerima dua dos,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, pihaknya sedang cuba memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak (sekolah rendah) yang belum dapat divaksin.

“Kita harap kalau boleh 100 peratus guru sudah divaksinasi sepenuhnya pun begitu kepada guru-guru yang tidak mahu divaksin atau antivaksin, saya akan meminta mereka berjumpa Tengku Mahkota Johor nanti,” selorohnya.- MalaysiaGazette