Foto ihsan orang awam

TUMPAT – Dua anggota keselamatan yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Talak, Chabang Empat, di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berdepan detik cemas, apabila dirempuh sebuah kereta dalam kejadian pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Ab Rashid Mat Daud berkata ketika kejadian, seorang anggota polis dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang bertugas dengan secara tiba-tiba sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam, merempuh khemah di SJR tersebut pada jam 11.45 pagi.

“Selepas rempuhan itu pemandu kereta tersebut cuba melarikan diri secara mengundur, seorang anggota polis bertindak mengejar dan sempat mengambil nombor pendaftaran kenderaan itu, namun pemandu kenderaan itu berjaya beredar dari tempat kejadian dan gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ab Rashid berkata, tiada sebarang kecederaan ke atas dua anggota keselamatan yang berada di khemah tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26(2), Akta Polis 1967. Polis juga sedang memburu pemandu kenderaan itu,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast