Mahadhir Aziz

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melantik Ts Mahadhir Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Sebelum pelantikan ini, Mahadhir adalah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise sejak ia ditubuhkan pada 2017.

Futurise, anak syarikat Cyberview sepenuhnya merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang diberi mandat untuk mengawal selia Sandbox Negara (National Regulatory Sandbox (NRS).

Pada Mac 2020, Mahadhir dipilih sebagai ahli pengasas Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan.

Sebagai peneraju industri yang dikenali, Mahadhir mempunyai rekod cemerlang melebihi 20 tahun dalam pelbagai industri seperti Perkhidmatan Kewangan, Tenaga (Minyak dan Gas), Teknologi Maklumat dan Media, serta pernah berkhidmat di organisasi tempatan dan global seperti Deloitte Consulting, Kodak, Petronas dan AmInvestment Bank.

“Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menerajui MDEC, yang ketika ini sedang meraikan ulang tahun jubli perak dan 25 tahun dalam memacu pertumbuhan sektor ICT dan ekonomi digital negara.

”Saya bersedia untuk mengukuhkan lagi asas MDEC dan misi ‘Reinvent’ (cipta semula) sebelum ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan pasukan yang berpengalaman di sini, dalam merealisasikan Rangka Kerja Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya. – MalaysiaGazette