KUANTAN – Modul tempahan carian hakmilik tanah atas talian menerusi aplikasi PahangGo mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi yang pertama di Malaysia.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, aplikasi tersebut merupakan kolaborasi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang bersama syarikat PahangGo Sdn Bhd dapat  dimanfaatkan oleh pengguna bermula hari ini.

“Ia antara pertama seumpamanya dalam sistem pentadbiran tanah di Malaysia di mana membolehkan orang ramai membeli carian rasmi atau persendirian bagi hakmilik tanah secara atas talian

“Namun perkhidmatan tersebut masih terhad kepada pembelian carian rasmi atau persendirian melibatkan hakmilik PTG yang akan diperluaskan meliputi hakmilik Pentadbir Tanah Daerah sebelum penghujung tahun 2021 ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ujar Wan Rosdy, perkhidmatan tersebut bukan sahaja antara transformasi penyampaian perkhidmatan awam dalam pentadbiran tanah malah merupakan pendekatan alternatif dalam menawarkan perkhidmatan tanpa pelanggan perlu hadir secara fizikal ke pejabat.

Ia antara usaha menyahut saranan kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 terutamanya apabila semakin banyak sektor ekonomi dibuka kelak.

“Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin ke arah mengembangkan ekonomi digital di Pahang, selain membantu mengurangkan kos perniagaan termasuk kos perjalanan untuk mendapatkan carian hakmilik tanah.

“Kadar bayaran masih sama sebagaimana diperuntukkan di bawah Kaedah–kaedah Tanah Pahang 1992 iaitu RM100 untuk carian rasmi dan RM50 bagi carian persendirian,” jelas Wan Rosdy lagi.

Justeru kerajaan negeri berharap inisiatif tersebut akan menjadi pendorong kepada jabatan serta agensi lain di samping meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette