LONDON – Warganegara Afghanistan yang bekerja untuk tentera dan Kerajaan Britain akan dapat berpindah ke United Kingdon secara kekal, kata Pejabat Dalam Negeri.
Mereka yang layak akan diberi cuti tanpa had untuk tinggal dan bukannya menetap lima tahun seperti yang ditawarkan sebelum ini.
Britain telah memindahkan lebih daripada 8,000 orang yang layak bagi Polisi Penempatan Semula dan Bantuan Afghanistan mulai 13 Ogos lalu.
Tentera Britain meninggalkan Afghanistan pada hujung minggu lalu setelah mengakhiri penglibatannya selama 20 tahun di negara tersebut.
Setiausaha Luar Negeri Dominic Raab berkata, beliau tidak dapat memberikan angka tepat bagi jumlah warga Afghanistan yang masih di sana tetapi layak untuk menetap di UK.
Dasar Penempatan Semula dan Bantuan Afghanistan (ARAP) adalah untuk bekas kakitangan tempatan dan keluarga mereka yang nyawa mereka dinilai berada di bawah ancaman serius dari Taliban.
Kerajaan Britain berkata, warga Afghanistan yang sudah dipindahkan di UK dengan tempat tinggal sementara sekarang dapat meningkatkan status imigrasi mereka, yang memungkinkan mereka mengakses pekerjaan tetap dengan hak untuk bekerja tanpa had.
Menurut Perdana Menteri Boris Johnson, Britain berhutang besar kepada mereka yang bekerja dengan angkatan bersenjata di Afghanistan.
“Oleh itu, kami akan memberi mereka dan keluarga sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan mereka di UK,” katanya. – BBC