Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bersama bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (kanan) bergambar sambil menujukkan nota serah tugas sambil diiringi timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (kiri) pada Majlis Penyerahan Nota Tugas Menteri KPPK di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin percaya bahawa latar belakangnya dalam sektor korporat sebelum ini dapat membantu beliau untuk mengemudi kementerian tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, beliau menganggap tanggungjawab yang diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu sebagai suatu cabaran besar lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Walaupun saya tidak menyangka ditugaskan ke KPPK, sesuatu yang agak asing sedikit kepada saya tetapi saya mengambil ini sebagai satu cabaran yang besar memandangkan KPPK merupakan sebuah kementerian yang banyak menyumbang kepada hasil negara.

“Jadi ini akan menjadi satu cabaran bagi kita semua terutamanya dalam pandemik Covid-19 untuk memulihkan ekonomi negara. Justeru, kementerian ini juga akan menjadi satu kayu ukur bagaimana negara dapat pulihkan ekonomi, ia tertakluk kepada peranan kementerian.

“Apatah lagi KPPK dengan enam produk komoditi utama termasuk sawit, getah, koko, tembakau, lada dan kayu-kayan. Ini telah menyumbang sebanyak 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu hampir 100 bilion,” katanya.

Zuraida berkata demikian ketika sidang media selepas majlis penyerahan tugas dari mantan menteri, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali sebagai di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng yang dilantik semula sebagai timbalan menteri KPPK dan timbalan menteri II, Datuk Willie Mongin yang menyaksikan majlis penyerahan itu secara atas talian.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPPK akan terus dipacu untuk membangunkan industri agrikomoditi negara ke paras lebih tinggi sebagai antara sektor yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kementerian ini adalah yang diharapkan untuk memberi hasil kepada negara, jadi kita akan lihat bagaimana dapat mempertingkatkan produktiviti, kelestarian dan matlamat jangka panjang serta hal-hal berkaitan pengurusan dan kewangan.

“Saya dapat lihat bahawa latar belakang saya sebagai seorang ahli korporat yang terlibat dalam pengiklanan, pemasaran dan penyelidikan juga boleh diguna pakai dalam kementerian ini,” ujarnya.

Sementara itu, Zuraida turut menyambut baik ketetapan Perdana Menteri yang mahu setiap kementerian membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

“Saya sambut baik kerana hasil dalam tempoh masa 100 hari menunjukkan sasaran, tujuan dan fokus kita yang sebenar,” ujarnya.

Untuk rekod, pada Mei 2018, Zuraida pernah dilantik sebagai anggota Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pada Mac tahun lalu, Zuraida sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui KPKT susulan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast