Datuk Dr Aman Rabu

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini mengesahkan dakwaan seorang wanita yang melahirkan anak secara bersendirian di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada 31 Julai lepas.

Pengarah JKNJ Datuk Dr Aman Rabu dalam kenyataan hari ini berkata secara keseluruhannya, aduan wanita berusia 36 tahun yang juga pesakit positif COVID-19 itu adalah berasas.

“Dia perlu ditempatkan di ruang isolasi yang tertutup (kerana positif COVID). Proses bersalin berlaku di luar jangkaan…ia berlaku lebih awal daripada tempoh jangkaan bersalin enam jam. Pesakit telah bersalin secara bersendirian dan bayi didapati berada di atas katil pesakit.

“Bagaimanapun, JKNJ akan menjalankan siasatan lebih terperinci mengenai kejadian ini dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.

Dr Aman menjelaskan wanita yang mengandung anak keempat dengan usia kandungan 39 minggu itu, hadir ke bilik saringan HSI pada 5.33 pagi, 23 Julai kerana telah mempunyai tanda-tanda awal hendak bersalin serta mengesahkan dia kontak rapat suaminya yang telah disahkan positif COVID-19.

Selepas diperiksa, wanita itu didapati berada di peringkat awal kelahiran dengan bukaan pangkal rahim tiga sentimeter dan kemudian dimasukkan ke bilik isolasi pada 10.18 pagi sementara menunggu keputusan Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR).

Dr Aman berkata wanita berkenaan kemudiannya diletakkan di dalam bilik nombor dua dewan bersalin dengan pintu sentiasa bertutup kerana dia positif COVID-19.

Pegawai perubatan dan jururawat telah memeriksa pesakit pada 4.26 petang dan mendapati hasil keputusan PCR wanita itu positif dan perlu melahirkan secara pembedahan dengan bukaan pada ketika itu empat sentimeter serta mengalami kontraksi tidak teratur dan pesakit dipersiapkan untuk pembedahan.

Baru-baru ini, tular menerusi Facebook hantaran wanita berkenaan yang mendakwa terpaksa melahirkan anak sendirian di dalam bilik bersalin meskipun cuba memanggil petugas kesihatan berulang kali.

Sementara itu, Dr Aman berkata dakwaan pesakit yang mengatakan mendengar bunyi ketawa pula berkemungkinan datang daripada bunyi bising di bilik bersalin berhampiran, yang ketika itu sedang melakukan prosedur kelahiran bayi secara vakum.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast