Jenazah Mohamad Azrin selamat dikebumikan di Sungai Petani, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Anggota tentera 10 Briged Kompeni PANDURA (Para), Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang dilaporkan mati lemas selepas terjatuh ketika Eksais Para Predator di Bera, Pahang dinaikkan pangkat Koperal.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, kenaikan pangkat secara ‘Posthumous’ itu berkuat kuasa serta-merta.

Zamrose.

Beliau berkata, kenaikan pangkat itu diberikan kepada arwah bagi mengiktiraf dan menghargai jasa serta pengorbanannya yang memberikan sepenuh komitmen sepanjang bertugas dalam pasukan sejak lebih tujuh tahun lalu.

Jelas beliau, pihak tentera darat amat menitik berat aspek kebajikan setiap warganya tidak kira ketika melaksanakan tugasan operasi mahupun latihan.

“Terdahulu saya zahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan pemergiannya itu merupakan satu kehilangan buat negara.

Zamrose memberikan bendera kepada balu Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa sebagai tanda penghormatan terakhir.

“Selain kenaikan pangkat, kita juga menyampaikan faedah kematian kepada keluarga mangsa mengikut peraturan-peraturan angkatan tetap 1982.

“Kita juga akan memastikan waris segera memperoleh bantuan dan sumbangan yang sewajarnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Zamrose bersama pihak tentera darat memberi penghormatan terakhir kepada Mohamad Azrin sebelum jenazah dikebumikan.

Nor Aqila Syafiqa menyiramkan air mawar di pusara suaminya.

Jenazah Mohamad Azrin, 27, selamat dikebumikan kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam di sini kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi.

Mohamad Azrin meninggalkan seorang balu, Nor Aqila Syafiqa Safuan,23, serta seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, jasad Mohamad Azrin dijumpai lengkap berpakaian oleh orang awam kira-kira 7.55 pagi.

Mayat mangsa berusia 27 tahun itu dijumpai timbul di tebing Kampung Serengkam, daerah Maran, kira-kira 70 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas. 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette