A resident from the Gombak Setia PPR in Kuala Lumpur receives his Covid-19 vaccine in the mobile vaccination centre in conjunction with the 'Vaksinasi COVID-19@Wilayah Prihatin' campaign at the Gombak Setia PPR Hall. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 12 JUNE 2021.
Foto hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memohon peruntukan tambahan bagi bekalan vaksin Covid-19 untuk menjayakan program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) 2.0 dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ketika ini pihaknya hanya diperuntukkan 80,000 dos untuk diberikan kepada 40,000 penjaja di seluruh negara.

“Setakat ini, KPKT telah memberikan 33,000 dos kepada penjaja di seluruh negara dan kini berbaki lagi 7,000 dos.

“Cuma untuk MOVAK 2.0, kita nak tumpu kepada enam negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah iaitu di bawah 50 peratus ketika ini,” katanya pada sidang media di pejabat KPKT, hari ini.

Selain itu, Reezal Merican juga akan meluaskan pemberian vaksin melalui MOVAK 2.0, tidak terhad kepada penjaja sahaja, bahkan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan diberi tumpuan selepas ini.

“Kita mempunyai 140 PPR, saya nak tahu berapa banyak lagi PPR yang masih belum diberikan vaksin.

“Kita nak pastikan rakyat rasa selamat daripada angka kes harian yang mengerikan.

“Selepas itu barulah kita boleh umumkan PPR kita selamat daripada jangkitan Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette