KUALA LUMPUR – Seorang daripada empat penjenayah warga asing yang disyaki menyamun cedera ditembak polis di Brickfields, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, polis yang menerima maklumat orang awam mengenai cubaan samun di hadapan sebuah bank di Cheras pada pukul 1 tengah hari mengekori dan mengejar kereta suspek sehingga ke Jalan Berhala di Brickfields.
“Ketika di Brickfields polis berjaya menyekat pergerakan suspek daripada melarikan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian sambil menambah dua suspek adalah wanita.
Tambah beliau, menyedari terkepung suspek yang dipercayai dari Amerika Latin itu cuba melanggar anggota polis yang mengarahkan mereka berhenti dengan mengundurkan kenderaan.
Menurut Abdul Jalil, anggota polis terbabit sempat mengelak lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta suspek.
Namun katanya, tembakan turut mengenai salah seorang suspek.
“Semua suspek yang terperangkap berjaya dikepung dan ditahan polis itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut manakala suspek yang tercedera dirujuk ke hospital untuk rawatan.
“Kami juga berjaya mengesan semula dan merampas wang RM150,000 yang disamun suspek berkenaan daripada mangsa,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Abdul Jalil berkata, kumpulan samun itu berpura-pura memberitahu mangsa bahawa tayar kereta mangsa pancit.
Katanya, selepas mangsa berhenti di tepi jalan suspek memaklumkan bahawa terdapat wang mangsa terjatuh di atas jalan yang mana wang tersebut disyaki ditaburkan suspek sebelum itu.
“Apabila mangsa turun ambil wang bertabur itu, kawan-kawan di sebelah kiri dan kanan yang menunggu segera ambil wang yang dikeluarkan mangsa di bank dan cabut lari,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Jalil menasihatkan orang ramai yang ingin mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak supaya lebih berhati-hati dan membawa peneman atau mengupah pengawal keselamatan bagi mengelak daripada disamun. – MalaysiaGazette