YAN – Seramai 60 keluarga mangsa tragedi fenomena kepala air di sini pada 18 Ogos lalu, menerima bantuan perkakasan elektrik baru-baru ini.

Pengerusi Syarikat Globonus Sdn. Bhd, Datuk Subhi Dziyauddin berkata, sumbangan yang disampaikan sendiri oleh beliau itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

“Kita bersimpati dengan mereka yang terjejas akibat fenomena kepala air sekali gus kehilangan pelbagai harta benda termasuk perkakasan elektrik.

“Sehubungan itu, kita turun padang menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka yang terjejas agar dapat meringgankan beban mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Antara barang yang disumbangkan adalah periuk nasi serta alat pemanas air.

Turut hadir pada majlis pemberian sumbangan itu ialah Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahya.

Mengulas lanjut, Subhi berkata, pihaknya turut menyampaikan bantuan peralatan dapur dan barangan makanan berjumlah RM30,000 kepada 100 ketua keluarga yang terkesan akibat banjir di Merbok, Sungai Petani.

Globonus merupakan sebuah syarikat pengangkutan dan pengurusan kilang milik bumiputra sepenuhnya.

Pada 18 Ogos lalu, seramai enam penduduk tempatan terkorban dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh ekoran fenomena kepala air membadai Yan.

Selain itu, sebanyak 1,732 rumah kediaman, 124 premis dan 14 pengusaha chalet pelancongan desa turut terkesan dalam fenomena itu. –MalaysiaGazette