Perodua Ativa

KUALA LUMPUR – Perodua mendaftarkan 6,988 kenderaan pada bulan Ogos berbanding 655 unit pada Julai.

Peningkatan ini dipacu daripada peningkatan produksi dan pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad menjangkakan jumlah pengeluaran dan pendaftaran akan meningkat berkali ganda pada bulan September apabila keadaan kembali normal.

Menurutnya, semua operasi Perodua dihentikan berikutan penutupan di seluruh negara yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 untuk mengawal penyebaran Covid-19.

Setakat tahun ini, Perodua telah mendaftarkan 104,933 kenderaan dengan penurunan 12.5% ​​berbanding 119,977 kenderaan yang dijual antara Januari
dan Ogos tahun lalu.

“Kami sedang berusaha untuk mengecilkan jurang ini dengan meningkatkan lagi pengeluaran kenderaan kami dan juga menambahbaik prosedur operasi kami untuk memastikan keselamatan para kakitangan dan pelanggan kami,” katanya.

Berdasarkan faktor waktu dan sumber yang sedia ada, katanya, Perodua menurunkan sasaran jualan sebanyak 10.8% kepada 214,000 kenderaan tahun berbanding sasaran 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini.

“Keutamaan kami kini adalah memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini. Antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa termasuklah peningkatan kes Covid-19 dan juga kekurangan bekalan semikonduktor” ujar beliau.

Mengenai kekurangan cip semikonduktor, Zainal berkata, Perodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan
lancar tahun ini dan sebahagian besar tempahan Perodua yang tertunggak akan dapat dipenuhi dalam tahun ini.

“Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan para pembekal kami untuk menghadkan
sebarang gangguan yang timbul,” tambahnya. – MalaysiaGazette