Friday, December 13, 2024
Home Sukan KBS akan cadang ganjaran setimpal untuk Ziyad

KBS akan cadang ganjaran setimpal untuk Ziyad

Muhammad Ziyad Zolkefli.
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada Kabinet mengenai ganjaran setimpal kepada jaguh lontar peluru paralimpik kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli bagi menghargai pencapaiannya pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insiden pembatalan pingat emas tidak pernah dijangka malah tidak pernah difikirkan ketika dasar pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan di temasya sukan dibuat.
“Tidak kita terfikir perkara itu akan berlaku bagaimana caranya untuk kita memberi ganjaran kepada kes seumpama itu. Kes ini agak terpencil, macam masalah pandemik COVID-19 yang pada awalnya tiada negara yang tahu apa nak buat, begitu juga dengan kes Muhammad Ziyad.
Selasa lepas, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod dunia baharu.
Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Insiden itu menyaksikan Muhammad Ziyad terlepas ganjaran berjumpah RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.
Sebelum ini media melaporkan gesaan beberapa pihak berhubung pemberian ganjaran SHAKAM kepada Muhammad Ziyad sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan pencapaian beliau di Tokyo.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau bersama barisan Kabinet mempunyai tanggungjawab kepada kementerian masing-masing dan juga setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.
“Perbelanjaan oleh kementerian iaitu kerajaan adalah duit rakyat dan kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kami belanjakan,” katanya.
Dalam pada itu, mantan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican optimis cadangan itu akan disambut baik Kabinet yang turut dibarisi beberapa bekas menteri KBS antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast