Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 18 penjawat awam antara 62 individu yang dikesan  ‘berpesta’ di sebuah pusat hiburan di Puchong dekat sini hari ini berjaya ditahan polis.

Kesemua individu itu dicekup menerusi satu serbuan Operasi Hiburan (Op Hiburan) yang dilaksanakan oleh polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor pukul 1.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di dalam pusat hiburan itu mendapati premis itu dalam keadaan gelap serta lampu berkelip-kelip selain muzik dimainkan dengan kuat.

Katanya, ada antara pelanggan pusat hiburan itu yang sedang leka minum minuman keras.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 62 individu berada di dalam premis itu membabitkan lapan individu termasuk tiga wanita yang bekerja sebagai pengurus serta pelayan selain 28 pelanggan lelaki dan 26 pelanggan wanita.

“Daripada jumlah itu, seramai 18 orang adalah penjawat awam yang dikenal pasti berada di dalam premis berkenaan dan berpesta,” katanya hari ini.

Menurutnya, mereka kesemuanya berusia antara 17 hingga 52 tahun.

Tambah Anbalagan, kesemua mereka dilibatkan dalam ujian saringan awal air kencing dan hasilnya mendapati salah seorang lelaki dikesan positif dadah jenis methamphetamin manakala selebihnya negatif.

Justeru katanya, polis turut mengeluarkan sebanyak 62 kompaun operasi berkenaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Setiap seorang individu dikenakan kompaun bernilai RM5,000 dan keseluruhan kompaun yang dikenakan membabitkan 62 individu adalah berjumlah RM310,000,” katanya.

Siasatan lanjut dijalankan ke atas mereka dibawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1955, Peraturan 16 Peraturan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1996 dan Seksyen 76 AKta Eksais 1976.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast