Nilai Kadar Kebolehjangkitan (RT) berkaitan Covid-19 di negara  kini adalah sebanyak 1.05, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 44.8 peratus atau 8,544 kes daripada jumlah keseluruhan 19,057 kes baharu Covid-19 hari ini didapati tiada sejarah vaksinasi.

Sebanyak 4,393 kes atau 23.1 peratus daripada kes yang hari ini juga telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau kurang 14 hari dari tarikh dos kedua.

“Sebanyak 6,120 kes atau 32.1 peratus daripada kes positif yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah vaksinasi lengkap dan sebahagian besar daripada mereka berada pada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kata Dr. Noor Hisham, sebanyak 104 kes kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID) tertinggi daripada semua 362 kes kematian yang dilaporkan hari ini. 

Daripada jumlah itu, pesakit warganegara Malaysia seramai 69 kes manakala 35 lagi adalah warga asing.

Jelas Dr. Noor Hisham lagi, untuk kes aktif dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 256,302 termasuk 978 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan 460 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Setakat ini sebanyak 19,057 kes harian negara dilaporkan termasuk 10 kes import dengan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 1,824,439 kes.

“Sementara kes sembuh merekodkan sebanyak 21,582 kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 405 kes (2.1 peratus) daripada kes harian adalah kategori tiga, empat dan lima serta sebanyak 18,652 kes (97.9 peratus) kategori satu dan dua.

Dalam pada itu sebanyak 16 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 12 kluster tempat kerja, tiga komuniti dan satu pendidikan-MalaysiaGazette