Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menetapkan pelaksanaan sesi persekolah secara bersemuka pada 3 Oktober ini.

Pendekatan itu perlu dititikberatkan kerajaan terutama Kementerian Pendidikan kerana ia melibatkan soal keselamatan anak-anak dan warga pendidik berikutan kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mahupun kementerian jangan sesekali mengambil risiko yang mereka sendiri tidak pasti.

“Kita dimaklumkan, sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini tanpa mengambil kira kadar jangkitan Covid-19 yang masih tinggi.

“Ketetapan diambil Kementerian Pendidikan kononnya sudah ramai anggota masyarakat telah divaksinkan dan nilai ambang yang diambil kira dalam Pelan Pembangunan Negara (PPN).

“Pada saya, jangan sesekali kita mengambil risiko yang kita tidak pasti. Tidak perlu terburu-buru sekali lagi. Sebolehnya elakkan kesilapan lama berulang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Radzi Jidin yang mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, sesi itu tidak akan melibatkan negeri yang masih berada dalam Fasa 1 PPN.

Menurut Ahmad Zahid, terlalu banyak perkara perlu diperhalusi secara mendalam oleh kerajaan dan kementerian itu kerana rata-rata murid dan pelajar belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Kata beliau, meskipun SOP akan lebih diperketat, tetapi sejauh mana ia benar-benar berkesan dalam melindungi murid dan pelajar perlu menjadi keutamaan.

“Perlu ingat pada 26 April 2021 Kementerian Kesihatan memaklumkan seramai 23,739 pelajar bawah umur 12 tahun telah dijangkiti Covid-19.

“Berdasarkan data itu Kementerian Kesihatan mengakui betapa mudah kes ditularkan di sekolah akibat pergaulan, walaupun dilaksanakan pelbagai SOP.

“Pada ketika itu, kes jangkitan harian di seluruh negara cuma sekitar 2,000 lebih. Pada hari ini jangkitan harian lebih 18,000 kes dan belum menunjukkan penurunan,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak fikir ibu bapa dan penjaga sanggup meletakkan anak mereka pada risiko kesihatan, malah jika SOP kurang meyakinkan mungkin ramai enggan menghantar anak ke sekolah.

Akhirnya, kata beliau, ia kembali mengundang isu pendidikan kerana situasi yang sangat perlu dielakkan bagi mewujudkan suasana tidak kebersamaan yang akan memangsakan murid sekolah.

“Justeru, haruslah dipastikan keputusan dan langkah seterusnya untuk anak-anak kita bermula Oktober ini adalah tepat dan betul.

“Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Jadikan pengalaman yang lepas sebagai pengukur dalam membuat keputusan yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette