Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin ketika beramah mesra bersama penerima vaksin COVID-19 ketika mengadakan lawatan pada Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Olak Lempit, Banting. Foto HAFIZ SOHAIMI,04 SEPTEMBER 2021.

BANTING – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan bekerjasama dengan Program Mobiliti Vaksinasi Komuniti (MOVAK) bagi menjayakan Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) dalam kawasan pedalaman.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, usahasama itu memastikan tenaga kerja dalam industri minyak sawit dan getah mendapat vaksinasi secepat mungkin menjelang Oktober ini.

“Saya sebelum ini ada MOVAK, KPPK ada VACOMS, saya akan gabungkan kerana MOVAK ada pasukan logistik yang boleh turun ke tempat pedalaman dan terasing.

“Jadi kita akan menggunakan MOVAK yang kita ada untuk bergabung dengan KPPK agar kita dapat melangakui tempat-tempat perladangan yang terpencil,” katanya pada sidang media di Olak Lempit, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama timbalannya, Datuk Dr Wee Jeck Seng membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) VACOMS Olak Lempit.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya ada menerima permintaan daripada pemain-pemain industri getah dan minyak sawit untuk turun padang untuk pemberian vaksin kepada pekerja perladangan mengikut lokaliti.

“Saya mendapat maklum balas daripada pemain-pemain industri, mereka minta kalau boleh kita buat vaksinasi ini di tempat atau lokaliti mereka.

“Ini kerana kalau pekerja-pekerja ini keluar dari kawasan, mereka mungkin terdedah kepada jangkitan Covid-19 itu mungkin lebih tinggi.

“Itu boleh kita aturkan Insya-Allah,” katanya.

Bagi tujuan itu, pihaknya telah pun memulakan perjumpaan dengan Majlis Getah Malaysia (MRC) baru-baru ini bagi menjayakan vaksinasi di dalam kawasan perladangan.

“Satu pertemuan MOVAK dengan VACOMS telah dilaksanakan di antara MOVAK dengan Malaysia Rubber Council (MRC) baru-baru ini.

“Sektor perkayuan sudah habis (vaksin), sekarang ini kita beralih kepada satu lagi sektor yang masih banyak belum habis vaksin, iaitu Industri minyak sawit dan getah,” katanya.

Sementara itu, Zuraida tidak menolak kemungkinan kenaikan harga minyak sawit di pasaran berpunca daripada berkurangnya bekalan komoditi itu.

“Ya, meningkat hingga 20 peratus dari segi nilai, ini kerana kurang bekalan, harga meningkat.

“Itu sebab peningkatan harga minyak sawit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette