Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk segera membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji berkenaan satu keperluan undang-undang untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin Covid-19 di negara ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat berkata, sekiranya jawatankuasa khas yang dibentuk ini memutuskan undang-undang mewajibkan vaksin boleh dilaksanakan.

Ia perlu digubal dengan segera bagi memastikan keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Jawatankuasa khas ini perlu memberi syor dan cadangan kepada kerajaan kerana banyak perkara perlu diteliti sebelum satu undang-undang boleh diwujudkan memandangkan masih belum ada negara di dunia ini yang mewajibkan pengambilan vaksin termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri.

“Justeru, ketika ini ramai yang memberi pelbagai pandangan mengenai peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan bagi mengambil tindakan terhadap golongan pekerja yang tidak mahu divaksin.

“Perkara ini perlu ditangani dengan segera oleh kerajaan bagi mengelakkan majikan mengambil tindakan berdasarkan andaian mereka sendiri ke atas pekerja yang tidak mahu mengambil vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berpandangan satu garis panduan perlu dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelakkan majikan membuat keputusan berdasarkan pandangan mereka sendiri sedangkan masih tiada undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin.

Menurutnya, garis panduan atau pekeliling yang jelas mengenai isu pengambilan vaksin dalam kalangan pekerja termasuk penjawat awam perlu dikeluarkan kerajaan dalam kadar segera bagi memastikan mereka ini tidak ditindas kerana menolak untuk divaksin.

Malah dalam soal vaksin membabitkan perkhidmatan awam pula, beliau menyeru kerajaan supaya mengeluarkan satu pekeliling khusus mengenai penjawat awam yang masih lagi tidak mengambil vaksin.

Katanya, pekeliling tersebut perlu menyentuh dengan jelas apa tindakan dan pendekatan yang perlu dilakukan kepada penjawat awam dalam isu pengambilan vaksin.

“Sebarang tindakan terburu-buru ke atas kumpulan yang masih menolak vaksin hanya akan mendedahkan kerajaan kepada risiko tindakan undang-undang sekiranya garis panduan atau undang-undang jelas mengenai pengambilan vaksin belum dikuatkuasa.

“Dalam masa yang sama, kerajaan perlu memantau rapi dan mengambil tindakan tegas terhadap golongan anti vaksin yang menyebarkan propaganda tidak benar di media sosial kerana golongan anti vaksin ini boleh menjadi barah dan menggagalkan usaha kerajaan untuk keluar daripada permasalahan pandemik Covid-19.

“Justeru itu, golongan anti vaksin ini perlu dipantau dan diambil tindakan tegas supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan menyampaikan maklumat tidak tepat.

“CUEPACS percaya tidak semua mereka yang menolak vaksin adalah golongan anti vaksin sebaliknya mereka ini mungkin masih belum yakin dengan keberkesanan vaksin maka dalam hal ini kerajaan perlu pergiatkan lagi usaha memberi kesedaran untuk meningkatkan keyakinan rakyat bagi mengambil vaksin,” tegasnya.

Adnan yang turut mengambil maklum mengenai isu warga kerja termasuk segelintir penjawat awam yang tidak mahu menerima vaksin berpendirian teguh bahawa semua penjawat awam sewajarnya mengambil suntikan vaksin yang telah disarankan oleh kerajaan sekiranya mahu memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat berjalan seperti biasa kerana mereka semua adalah barisan hadapan yang akan menjadi pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi.

Tegas beliau, suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang yang dijangkiti dengan virus Covid-19 daripada menerima kesan yang lebih buruk selain mampu mengelakkan risiko kematian.

“Pengambilan vaksin juga mampu mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan mengurangkan risiko jangkitan malah kegagalan mengambil suntikan vaksin boleh mewujudkan persekitaran tempat kerja tidak selamat selain mendedahkan bahaya kepada orang awam yang lain,” ujarnya.-MalaysiaGazette