Friday, December 13, 2024
Home Sukan Tak betul Ziyad lewat 28 minit – CDM

Tak betul Ziyad lewat 28 minit – CDM

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin. foto MOHD ADZLAN, 2 OGOS 2020.
KUALA LUMOUR – Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli lewat ke venue pertandingan 28 minit, pada Selasa lepas.
Megat D Shahriman berkata dakwaan seperti dilapor sebuah akhbar tempatan Jumaat lalu yang memetik sumber kontinjen negara itu tidak tepat selain tidak pernah memberi sebarang input kepada mana-mana pihak mahupun pemberita berkenaan.
“Saya menyangkal dakwaan laporan akhbar itu. Cerita yang diberikan sumber itu tunggang-langgang,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia sedia dihubungi oleh pihak media pada bila-bila masa sekiranya mereka mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.
Selasa lalu, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.
Beliau telah diklasifikasikan sebagai “Did Not Start (DNS)” atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Jumaat lalyu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan Muhammad Ziyad di temasya berprestij itu.
Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jawatankuasa itu akan berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penglibatan anggota bebas.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah dan ahlinya terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Mohd Manshahar Abdul Jalil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast