Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak melantik mana-mana pihak ketiga untuk berurusan dengan bakal pengantin bagi mendapatkan temujanji berkaitan urusan perkahwinan.

Menerusi perkongsian di Facebook, agensi itu memaklumkan bakal pengantin diminta mendapatkan tarikh temujanji secara percuma bagi urusan berkaitan perkahwinan melalui laman sesawang www.jais.gov.my sahaja.

Katanya, pihak-pihak yang mempunyai maklumat atau mengetahui terdapat individu mengambil kesempatan menjual slot janji temu diminta segera membuat laporan.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi talian 03-5514340/3600 atau emel [email protected]

Sebelum ini, JAIS membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai yang hanya boleh dilakukan di pejabat JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah dari Isnin hingga Ahad.

JAIS turut mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian saringan Covid-19 (RTK-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar. – MalaysiaGazette