KUALA LUMPUR – Kepulangan dua pemenang pingat emas negara Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly disambut seperti wira negara sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang petang tadi.
Turut tiba bersama adalah atlet para olahraga, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M Noor Azman Taib dan jurulatih atlet.
Kesemua mereka tiba dengan menaiki pesawat MH71 dari Narita dan mendarat di KLIA pukul 5.45 petang tadi.
Mereka disambut meriah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, bukan bilangan pingat yang menjadi ukuran sebaliknya persembahan cemerlang yang diberikan semua atlet membuatkan seluruh rakyat terus bersemangat untuk menyaksikan setiap acara yang dipertandingkan.
“Untuk itu, kami amat berterima kasih di atas usaha terbaik anda semua,” katanya pada sidang media di KLIA petang tadi.
Kontinjen Paralimpik Tokyo 2020 membawa pulang tiga pingat emas dan dua gangsa menerusi acara olahraga, badminton, boccia dan powerlifting.
Tiga emas disumbangkan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, Liek Hou (badminton) dan Latif (lompat jauh).
Pingat perak pula diraih Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) sekali gus menepati sasaran yang diletakkan iaitu tiga emas.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi lafaz syukur kita semua lafazkan juga kerana di temasya Paralimpik Tokyo 2020 ini juga, kontinjen negara sudah berjaya melakar prestasi pencapaian terbaik sepanjang sejarah 16 kali penyertaan kita dalam Sukan Paralimpik seawal penyertaan pertama di Paralimpik Heidelberg 1972.
“Kontinjen Paralimpik kita menyumbangkan tiga pingat emas, menepati sasaran awal tiga emas dan seterusnya pencapaian dua perak lagi sudah memperbaiki pencapaian di Rio 2016 dengan tiga emas, satu gangsa,” tambah Ahmad Faizal. – MalaysiaGazette