Orang ramai mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki masjid pada hari pertama solat sunat terawih ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Masjid Putra,Putrajaya. Foto, FIKRI YAZID 12 APRIL 2021.Foto, FIKRI YAZID 12 APRIL 2021.

PETALING JAYA – Orang ramai yang menerima vaksin di luar negara termasuk Singapura boleh memohon sijil dalam MySejahtera melalui pejabat kesihatan daerah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pendaftaran secara sukarela itu bertujuan memudahkan golongan tersebut ketika melakukan urusan harian.

Ketika dihubungi Sinchew Daily, Dr. Adham berkata, golongan yang menerima vaksin di luar negara sebelum ini berdepan masalah ketika mahu merentas negeri atau menjamu di kedai.

“Kami berpendapat isu ini perlu diutamakan dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) akan membantu mereka untuk mendapat sijil vaksinasi,” katanya.

Beliau menjelaskan, mereka yang menerima vaksinasi di luar negara perlu memohon di pejabat kesihatan daerah berhampiran dengan tempat kediaman masing-masing.

“Pejabat kesihatan akan meminta mereka menunjukkan sijil vaksinasi di luar negara, sama ada yang tersimpan dalam telefon atau bercetak. Pihak berkuasa akan melakukan semakan berdasarkan maklumat yang diberikan.

“Selepas semakan selesai, pejabat kesihatan daerah akan menghantar maklumat ke jabatan kesihatan negeri.

” Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) seterusnya akan mengeluarkan sijil melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr. Adham berkata, vaksin yang diterima bagaimanapun harus jenis yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). – MalaysiaGazette