Presiden Parti Berjasa Malaysia (BERJASA), Tuan Haji Zamani Ibrahim menunjukkan memorandum bagi mencadangkan pemerkasaan tadbir urus kerajaan Malaysia di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) hari ini mempersembah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung cadangan memperkasa tadbir urus Kerajaan Persekutuan.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, memorandum tersebut diserahkan kepada Pejabat Pentadbiran Bahagian Pengurusan Diraja dalam satu pertemuan di Istana Negara.

Katanya, Berjasa mempersembahkan tiga cadangan kepada Agong untuk dipertimbangkan agar negara dapat mencapai kestabilan dan pengurusan yang terbaik.

“Perkara yang dipersembahkan itu adalah lantikan jawatan tertinggi negara seperti jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) berdasarkan keupayaan tanpa melibatkan campur tangan politik.

“Lantikan pegawai tertinggi negara hendaklah dalam kalangan orang yang kuat pegangan agama, taat setia kepada raja dan negara, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi, tiada kes mahkamah, tiada kes rasuah serta mempunyai keupayaan menjalankan tugas secara adil dan saksama.

“Memisahkan bidang kuasa peguam negara dengan pendakwa raya bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam institusi perundangan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghantar memorandum tersebut melalui Pintu 2, Istana Negara.

Presiden Parti Berjasa Malaysia (BERJASA), Tuan Haji Zamani Ibrahim Foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Zamani berkata, lantikan-lantikan tersebut sering bertukar setiap kali berlakunya peralihan kuasa kerajaan dan pihaknya berharap ia tidak berlaku lagi dalam pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambahnya, jawatan-jawatan berkenaan adalah penting dan ia tidak perlu ada campur tangan politik.

Zamani berkata, Berjas yakin dan percaya cadangan yang dipersembah itu sekiranya dipenuhi mampu membentuk pentadbiran negara yang lebih telus, bersih, amanah serta bebas daripada semua bentuk penyalahgunaan kuasa.

Ujar beliau, pihaknya meletakkan harapan terhadap kerajaan dan pembangkang untuk sama-sama mendokong cadangan tersebut bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang unggul.

Ditanya sama ada Berjasa melihat perkara yang dibangkitkan itu berlaku ketika ini, Zamani berkata, keadaan tersebut terjadi ketika di zaman pentadbiran Pakatan Harapan.

Ketika itu, katanya, perkara sama juga pernah disuarakan oleh pihak-pihak tertentu sebagai bantahan dan perubahan itu tidak juga berlaku hinggalah terjadinya peralihan kuasa kerajaan yang baharu.

“Kami berharap agar Seri Paduka Baginda yang merupakan payung kepada kita semua akan prihatin dan mengambil pandangan kami ini sebagai satu perkara yang diberikan perhatian…Insya Allah,” ujarnya. – MalaysiaGazette