Salah satu bangunan yang menjadi tarikan di Muar, Johor.
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memohon supaya tiga kawasan pelancongan yang sudah mencapai tahap vaksinasi lengkap lebih 80 peratus dibuka sebagai destinasi gelembung pelancongan.
Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tiga kawasan pelancongan itu ialah Muar, kepulauan Mersing dan Desaru.
Beliau berkata, Tourism Johor dan seluruh pemain industri pelancongan negeri ini  menyambut baik inisiatif gelembung pelancongan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan destinasi yang mencapai kadar vaksinasi 80 peratus dibenarkan beroperasi.
“Saya percaya inisiatif ini akan memberikan satu sinar baharu kepada pemain industri pelancongan yang melalui keadaan suram sejak bermulanya pandemik ini.
“Oleh itu, setelah berbincang dengan Tourism Johor, saya ingin memohon agar Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia untuk mempertimbangkan 3 kawasan tumpuan ini bagi inisiatif  ‘travel bubble’ di Johor.
”Contohnya Muar yang terkenal dengan panorama yang cantik, bangunan bersejarah dan makanan yang sangat sedap. Daerah ini telah mencapai imuniti kelompok pada 4 September 2021 dengan seramai 168,396 penduduk (84.24%) yang telah menerima dos kedua.
“Kepulauan Mersing atau lebih dikenali sebagai “Maldives of Malaysia” telah mencapai 100% vaksinasi atau 594 orang bagi keseluruh penduduk dan pekerja resort dan Desaru Coast yang dinobatkan “Worlds Greatest Places 2021” telah mencapai 91% vaksinasi atau 1210 pekerja yang telah menerima dos kedua,” katanya menerusi laman Facebooknya pagi ini. –  MalaysiaGazette