Suspek disyaki warga Bangladesh berjaya ditahan bersama 1,060 pelbagai jenis rokok.

ISKANDAR PUTERI – Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri merampas sebanyak 1,060 kartun rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM41,000.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejayaan itu setelah pihaknya mẹmbuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Taman Melawati, Nusa Bestari di sini semalam.

“Dalam serbuan pukul 8 malam itu, kami menahan seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pekerja di premis tersebut. Hasil risikan, Ops Kontraband dilancarkan bagi mengesan aktiviti penjualan rokok yang tidak berdaftar dan beroperasi secara haram.

“Dalam operasi yang sama, polis telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berumur 34 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan ke atas rumah suspek,polis  mendapati pelbagai jenis rokok  tiada cukai kastam.

Kesemua rokok dijumpai disimpan dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah tersebut yang dianggarkan bernilai RM41,000.

“Suspek warga asing itu akan ditahan reman bagi membantu siasatan dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,”katanya.-MalaysiaGazette