M. Kirubakaran didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret (Munisipal) Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pengembala lembu didakwa di Mahkamah Majistret (Munisipal) di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita di sebuah rumah di Taman Seruling Emas, Sungai Bakap pada 28 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. Kirubakaran, 29, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aziana Azib.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian Lee Ling Tee, 40.

Tertuduh dikawal rapi ketika tiba di mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Permatang Ara, Taman Seruling Emas, Sungai Bakap di sini di antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 28 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis methaphetamine dan amphetamin ke dalam badan di Bahagian Siasatan Jenayah  Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada 29 Ogos lalu kira-kira jam 1 pagi.

Bagi kedua-dua kesalahan berkenaan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 8 November depan sementara menunggu laporan patologi dan bedah siasat, manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

ARTIKEL BERKAITAN

Mayat mangsa rogol, liwat ditemui bawah katil

MalaysiaGazette pada 29 Ogos lalu, melaporkan Polis Pulau Pinang berjaya menyelesaikan satu kes rogol, liwat dan bunuh seorang wanita dalam tempoh kurang tiga jam.

Pembunuhan itu terbongkar selepas orang awam serta jiran mangsa melihat seorang lelaki mencurigakan di halaman kediaman dua tingkat mangsa di Taman Seruling Emas di sini.

Mayat kerani itu ditemui di bawah katil dalam keadaan tidak berbaju selepas pihak keluarga meminta bantuan polis membuat pemeriksaan di kediaman tersebut susulan tiada kelibat mangsa.

Susulan itu, pihak polis berjaya menahan suspek berusia 29 tahun yang bersembunyi kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian. – MalaysiaGazette