Firdaus Abdul Halim Kredit: PDRM

LAHAD DATU – Polis sedang giat mengesan seorang lelaki positif COVID-19 yang melarikan diri dari Hospital Lahad Datu semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad berkata Firdaus Abdul Halim, 30, melarikan diri pada 8.10 malam ketika pihak hospital sedang menyiapkan dokumentasi lelaki berkenaan.

Menurutnya lelaki itu datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu setelah mengalami gejala iaitu demam serta hilang deria rasa, dan susulan ujian calitan COVID-19, dia didapati positif COVID-19.

“Sewaktu proses dokumentasi dilakukan, lelaki itu bertindak melarikan diri dan pihak hospital membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Rohan Shah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki itu agar menghubungi pengawai penyiasat polis, Marlisa Maedika di talian 0162194554 dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 270 Kanun keseksaan.- BERNAMA