Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Puchong Indah ditutup sepenuhnya kelmarin selepas beroperasi enam minggu mulai 26 Julai, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu sebanyak 51,834 dos vaksin diberikan kepada penerima melibatkan 25,190 dos pertama dan 26,644 dos kedua.

“Pembukaan PPV ini merupakan langkah besar menuju imuniti kelompok. Vaksin adalah kaedah terbaik bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kepada sesiapa belum menerimanya, kunjungi mana-mana PPV yang masih dibuka untuk mendapatkan suntikan vaksin anda,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata, pihaknya melakukan pelbagai usaha dalam menggalakkan penduduk Kinrara termasuk warga asing mengambil pelalian seperti membuat hebahan melalui sosial media serta bergerak rumah ke rumah.

Pada 25 Jun, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan serta Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi mempercepatkan proses vaksinasi penduduk setempat.

Berikutan itu bermula 26 Julai, PPV yang menggunakan Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah itu dibuka dan mampu menampung antara 1,000 hingga 1,500 individu dalam satu-satu masa. – MalaysiaGazette