TAWAU – Sarawak menjadi negeri pertama memulakan program vaksinasi Covid-19 untuk golongan remaja bawah 18 tahun bermula esok.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian vaksin dijangka akan memberi faedah kepada 76,400 remaja di negeri itu yang berusia 16 dan 17 tahun.
Selain itu, katanya, remaja berumur 12 hingga 15 yang berisiko tinggi dan mempunyai penyakit komorbid akan diutamakan untuk menerimanya awal.
“Selepas selesai vaksin untuk 16 hingga 17 tahun, kita akan turun ke usia 14,15,12 dan 13 tahun tetapi kita akan buat secara berperingkat untuk memastikan tidak ada masalah dalam melaksanakan program imunisasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di tapak cadangan hospital medan di lapangan terbang lama di Jalan Utara hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut Khairy, Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur dan Selangor akan menjadi negeri seterusnya bagi program vaksinasi golongan remaja sebelum di negeri-negeri yang telah mencapai kadar imunisasi 80 peratus dalam kalangan dewasa ini keputusan dasar yang telah dibuat di Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Mengulas lanjut Menteri Kesihatan itu berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah memberi kelulusan untuk golongan remaja diberikan vaksin jenis Pfizer.
Jelasnya, pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan berkenaan memberikan kebaikan berbanding risiko kecil terhadap kesan sampingan seperti radang jantung yang berlaku di negara lain seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
“Daripada apa yang kita telah tanya berdasarkan risiko ada yang tanya. Penting atau tidak berisiko atau tidak, saya telah rujuk kepada Ketua Pengarah dan kumpulan pakar yang menasihati JKAJV.
“Berkenaan vaksinasi ini kita dapati bahawa kes radang jantung dalam kalangan remaja yang dapat Covid-19 adalah 37 kali ganda lebih tinggi daripada yang tidak dapat Covid-19 ada yang bertanya kesan sampingan radang jantung yang berlaku dalam kalangan remaja.
“Setelah kita buat nilaikan kebaikan menerima vaksin, kes radang jantung di kalangan remaja di Amerika Syarikat hanya 450 per 1 juta kes, sangat kecil,” katanya.-MalaysiaGazette