Tompokan darah mangsa ditemui di atas lantai sebuah masjid di Taman Scientex.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia akibat kecederaan pada pergelangan tangan dan kaki kanan di rumah sewanya di Taman Scientex, dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mendapat maklum mengenai kejadian itu pada 7.35 pagi.

Siasatan mendapati mangsa, 28, telah mengamuk di Masjid Taman Scientex setelah mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.

“Mangsa kemudian bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid hingga pecah dan menyebabkan tangannya berlumuran darah.

“Dilantai masjid  terdapat kesan tompokan darah. Semakan CCTV mendapati mangsa telah menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin tersebut sehingga pecah,” katanya menerusi kenyataan media.

Mohd. Sohaimi berkata, kakak mangsa memberitahu adiknya yang bekerja sebagai jurutera kimia sebuah syarikat, dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat keluarganya.

Difahamkan juga sudah  enam bulan tidak bertemu dengan keluarganya di Kuala Berang, Terengganu.

Mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah luka parah di pergelangan tangan kanan yang mengakibatkan saluran darah alteri dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca,” ujarnya.

Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast