Mullah Baradar Akhund. foto Reuters

KABUL – Taliban mengumumkan pelantikan Mullah Hassan Akhund sebagai perdana menteri kerajaan sementara Afghanistan.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid dalam sidang media berkata, Mullah Abdul Ghani Baradar dan Abdul Salam Hanafi pula dinamakan sebagai pemangku timbalan perdana menteri, sementara Mullah Mohammad Yaqoob, anak kepada pengasas bersama Taliban Mullah Mohammad Omar, dilantik sebagai pemangku menteri pertahanan .

Amir Khan Muttaqi berperanan sebagai pemangku menteri luar negeri dan Sarajuddin Haqqani, anak pengasas rangkaian Haqqani, dipilih sebagai pemangku menteri dalam negeri, kata jurucakap Taliban.

Abas Stanikzai dilantik sebagai pemangku timbalan menteri luar negeri.

Beliau berkata, pelantikan pemerintah sementara tidak muktamad kerana ini adalah jawatan pemangku dan baki jawatan akan diumumkan kemudian.

Langkah itu bertujuan melaksanakan tugas-tugas kerajaan yang diperlukan, katanya.

Jurucakap itu menegaskan kerajaan sekarang adalah kerajaan yang “bertindak” dan kumpulan itu akan berusaha melantik individu dari bahagian lain di negara ini.

Namun beliau tidak menjelaskan berapa lama pemerintahan sementara ini akan berkhidmat.

Pembentukan pemerintah sementara Afghanistan diumumkan setelah Taliban mengatakan pada hari mereka telah menguasai sepenuhnya Panjshir, wilayah terakhir yang ke-34 di Afghanistan.

Panjshir, terletak sekitar 200 km di utara ibu kota Kabul, merupakan wilayah terakhir di Afghanistan yang tidak dikuasai oleh Taliban setelah kumpulan itu merampas sebahagian besar wilayah Afghanistan sejak awal bulan Ogos dalam serangannya, termasuk Kabul.

Kumpulan terakhir tentera Amerika Syarikat meninggalkan Afghanistan pada tengah malam pada 30 Ogos, sehari sebelum tarikh akhir 31 Ogos yang ditetapkan oleh Presiden Joe Biden, yang mengakhiri pencerobohan selama 20 tahun di negara Asia Tengah.

Taliban sebelum ini berjanji untuk membina pemerintahan yang inklusif dan melahirkan harapan bahawa rakyat Afghanistan akan membantunya dalam peralihan negara ini. – Xinhua