ADUN Balakong, Wong Siew Ki. foto FAREEZ FADZIL, 23 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengemaskini maklumat penerima lengkap dos pelalian bawah program Vaksin Selangor (Selvax) menerusi aplikasi MySejahtera bagi memudahkan urusan harian.

Ahli Dewan Negeri Balakong, Womg Siew Ki berkata, terdapat banyak aduan dihantar orang ramai melalui sistem meja bantuan (Helpdesk) berhubung isu berkenaan, namun tiada maklum balas untuk kemas kini sehingga sekarang.

Menurutnya, isu tersebut tidak seharusnya timbul berikutan Selgate Healthcare, yang merupakan pihak pengendali program Selvax sudah menghantar semua maklumat peserta kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bermula sekitar Ogos sehingga sekarang, saya menerima panggilan dan pertanyaan daripada peserta Selvax bahawa maklumat mereka tidak dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera walaupun telah 14 hari menerima vaksin dos kedua.

“Hal ini memberi kesan kepada kehidupan seharian orang ramai kerana tidak dibenarkan memasuki premis perniagaan dan tempat awam disebabkan kegagalan menunjukkan status vaksin melalui e-sijil MySejahtera,” katanya menerusi kenyataan.

Siew Ki berkata, usaha melawan pandemik tidak akan berjaya sekiranya kerajaan gagal menangani perkara yang berlaku.

“Situasi ini amat mengecewakan apabila aplikasi yang menjadi kebergantungan utama kerajaan mengambil masa lama untuk mengemas kini maklumat penerima vaksin,” tambahnya. – MalaysiaGazette