1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari mengekalkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai sebahagian daripada pasukan pendakwaan skandal penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam keputusan sebulat suara, panel hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan rayuan Najib supaya Sri Ram digugur daripada terus terlibat dalam pendakwaan kes 1MDB.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Yaacob ketika membacakan keputusan berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak membuat kesilapan dalam mengekalkan Sri Ram sebagai sebahagian daripada pendakwaan 1MDB.

“Kami rasa tidak ada kesilapan yang boleh dirayu yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan perayu. Tiada merit dalam rayuan.

“Jadi kita kekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak permohonan perayu,” katanya ringkas.

Antara kes yang melibatkan Sri Ram termasuklah penyewelengan dana RM2.3 bilion 1MDB dan juga perbicaraan laporan audit 1MDB yang sedang berjalan serentak ketika ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam, Tan Sri Shafee Abdullah dilihat membincangkan sesuatu selepas hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 OKTOBER 2019.

Sebelum ini Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah memohon kepada Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau pada 15 Februari tahun ini.

Antara yang dibangkitkan oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah termasuklah pendedahan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam afidavitnya berhubung perbualan beliau dengan Sri Ram yang tidak disangkal, malah disahkan oleh Sri Ram.

Afidavit Mohamed Apandi mendakwa terdapat komunikasi antara beliau dengan Sri Ram yang menyaksikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu memintanya menimbang untuk mendakwa Najib di mahkamah.

Muhammad Shafee berkata, pembelaan turut mengemukakan rayuan berhubung pembabitan Sri Ram dalam kes berkaitan skandal 1MDB yang bukan hanya sebagai seorang pendakwa, malah penyiasat sebagaimana yang didakwa oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Najib untuk mengecualikan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu berkaitan laporan audit 1MDB.

Mohamed Zaini, dalam penghakiman ringkas, berkata mahkamah mendapati dakwaan Najib bahawa Sri Ram terbabit dalam siasatan terhadapnya tidak mempunyai merit.

Hakim itu juga berkata, Najib telah antara lain, bergantung kepada fakta bahawa terdapat komunikasi antara Mohamed Apandi dan Sri Ram sebagai bukti berkaitan sikap berat sebelah Sri Ram terhadapnya dan kekhuatiran pemohon berhubung perkara berkenaan adalah tidak berasas serta tidak bertempat. -MalaysiaGazette