KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn Bhd melancarkan slogan baharu, ‘Destinasi Anda Inspirasi Kami’  sebagai falsafah kerja dalam kalangan kakitangannya ketika berinteraksi dengan pelanggan, rakan sekerja dan orang awam.

Rapid Bus juga bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan tiba ke destinasi dengan selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berharap slogan ini mampu menyuntik lebih banyak nilai murni dan komitmen dalam kalangan kakitangan.

“Bukan itu sahaja, tetapi juga perlu menyediakan suasana selesa dan membina hubungan yang baik dengan para pelanggan.

“Kita mahu memperkukuhkan lagi kedudukan jenama; dan pengamatan slogan ini adalah strategi untuk menjadikan perkhidmatan kita menjadi pilihan dalam kalangan komuniti.

“Apabila kita di Rapid Bus sediakan perkhidmatan yang bagus kepada para penumpang, pasti mereka akan mengingati bahawa kita adalah lebih daripada sekadar satu mod pengangkutan atau kenderaan sahaja bagi mereka,” kata syarikat itu.

Tambahnya, dengan sokongan daripada Divisyen Modal Insan di peringkat Kumpulan Prasarana, program untuk meningkatkan lagi pengalaman kakitangan dengan pelanggan secara bersepadu sedang dilaksanakan.

Ia merangkumi latihan secara menyeluruh dari segi etika, pengurusan tekanan dan perkhidmatan pelanggan yang baik, program pertukaran kerja ‘Sehari Dalam Kehidupan’ bagi membolehkan kakitangan daripada pelbagai peringkat untuk merasai pengalaman berbeza.

Selain itu meningkatkan sikap empati dan saling mempelajari antara satu sama lain; serta  program pelanggan misteri atau ‘mystery shopper’untuk memastikan staf Rapid Bus secara konsisten memberikan apa yang telah dijanjikan oleh perkhidmatan kami,” tambahnya.

Slogan yang dipilih selepas syarikat itu membuat pertandingan dalam kalangan kaki tangannya dan dimenangi Kapten Bas Mohd Rahmat Abd Hamid dari Rapid Kuantan.

Abd Hamid berkata, inspirasi untuk mencipta slogan ini ketika melihat seorang penumpang yang agak berusia pergi ke hospital untuk menjenguk anaknya.

“Senyuman di bibirnya setelah berjumpa anaknya yang telah sembuh membuatkan saya sedar tentang peranan penting kakitangan dan khidmat Rapid Bus.

“Ia bukan sahaja untuk menyediakan perkhidmatan awam dan membawa penumpang menuju ke destinasi yang ingin dituju,” katanya.

Selain Kuantan, Rapid Bus turut menyediakan perkhidmatan bas Rapid KL untuk warga kota Kuala Lumpur dan Selangor; dan Rapid Penang untuk perkhidmatan di Pulau Pinang dan Seberang Prai serta perkhidmatan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway di Bandar Sunway.

Anak syarikat Prasarana itu turut mengendalikan perkhidmatan bas perantara Jom Naik MRT serta misi-misi khas seperti menyokong program imunisasi menentang wabak Covid-19 termasuk menjadi pusat pemberian vaksin bergerak dan  memindahkan mangsa banjir semasa musim air bah di Pahang. – MalaysiaGazette