Lembaga Tabung Haji TH deposits
Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.22 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2021, penurunan dua peratus berbanding RM1.25 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.

Antara faktor yang menyebabkan penurunan keuntungan adalah daripada pelaburan harta tanah berikutan keadaan pasaran mencabar kerana pandemik di seluruh dunia.

TH merekodkan pendapatan sebanyak RM1.52 bilion dalam separuh tahun pertama yang berakhir pada 30 Jun 2021 berbanding dengan RM1.55 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun 2020.

Walaupun menurun satu peratus, pencapaian ini mencerminkan ketahanan TH menangani kelembapan ekonomi dan perniagaan yang sukar pada masa kini.

Sebahagian besar pendapatannya diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM942.6 juta dalam tempoh setengah tahun pertama yang merangkumi 62 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya.

Pelaburan saham turut menyumbang RM219.9 juta untuk tempoh semakan mencatatkan peningkatan berbanding RM184.2 juta pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

Pelaburan ekuiti menyumbang 14 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM174.7 juta, diikuti pelaburan pasaran wang dengan pendapatan RM161.8 juta.

Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM85.92 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021.

Jumlah kos operasi juga hampir sama dengan kos pada tahun lepas, hasil langkah pengurusan berhemah walaupun di dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

TH sentiasa mengambil langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan kos yang cekap.

Pada 30 Jun 2021, jumlah deposit di TH berjumlah RM81.14 bilion iaitu paras tertinggi sejak penubuhannya, 58 tahun lalu.

TH mempunyai 8.3 juta pendeposit pada 30 Jun 2021.- MalaysiaGazette