Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han menunjukkan kit ujian kendiri percuma untuk penduduk di DUN Kinrara.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,000 kit ujian kendiri disediakan secara percuma untuk pesakit Covid-19 sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.

Wakil rakyatnya, Ng Sze Han berkata, kit sumbangan kerajaan Selangor itu turut diagihkan kepada keluarga pesakit bagi memantau tahap kesihatan sepanjang menjalani tempoh kuarantin di rumah.

“Sayangi Kinrara Covid-19 Care Pack ini mengandungi kit ujian air liur, penyedut oksigen, Paracetamal, vitamin C 500mg, kit sanitasi, pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

“Ini merupakan inisiatif melawan virus Covid-19 selepas kita memfokuskan program vaksinasi penduduk,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, individu yang memerlukan kit tersebut boleh menghubungi pusat khidmat di talian 03-80821661 atau 01125816296.

Pada 12 Ogos lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma akan diagihkan kepada keluarga mangsa dijangkiti virus itu.

Katanya, kit tersebut akan diserahkan melalui 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras DUN. – MalaysiaGazette