Gambar hiasan.

KUANTAN – Seramai 113,000 pelajar sekolah yang layak divaksin bakal menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan pada pertengahan September ini oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).

Pengarah JKNP Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, keutamaan proses vaksinansi akan diberikan kepada pelajar tingkatan empat, lima dan enam yang mengambil kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Pemberian suntikan akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan pelajar berusia 12 hingga 18 tahun.

“Suntikan dos pertama mereka akan diberikan sebaik sahaja penyelarasan dibuat dan dapat kata putus di antara pengurusan Kerajaan Pahang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

“Kalau boleh mereka pelajar tingkatan empat, lima dan enam yang mengambil peperiksaan perlu melengkapkan dua dos sebelum sesi persekolahan bermula pada Oktober ini.

“Manakala bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula akan mengutamakan mereka yang menghidapi penyakit dan berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi temu bual bicara Pahang secara maya yang disiarkan di laman sosial Facebook milik Kerajaan Negeri Pahang.

Dalam pada itu , Sarawak dan Labuan akan memulakan suntikan kepada pelajar dalam masa terdekat setelah jawatankuasa petugas khas imunisasi Covid-19 (CIFT) telah membenarkan pemberian suntikan vaksin itu kepada pelajar sekolah.

Dr. Nor Azimi juga pihaknya sedang giat melaksanakan Program Outreach Vaksinasi (POV) di seluruh Pahang terutama di kawasan luar bandar bagi mengesan dan membantu golongan tercicir untuk mendapatkan vaksin.

Selain itu, JKNP juga telah memulakan proses pemberian vaksin secara terus (walk-in) kepada penerima di beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini. – MalaysiaGazette