KUALA LUMPUR – Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) menyambut baik keputusan kerajaan memberi kebenaran kepada kawasan Lembah Klang untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ini pastinya memberikan impak yang besar kepada sektor pelancongan terutamanya pemilik hotel dan inap desa yang dapat kembali beroperasi, sekali gus dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang pada ketika ini sangat lesu.
Pada masa sama, Presiden SAFTTA, Fathur Badri Alhadad mengharapkan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memberikan kebenaran kepada syarikat agensi pelancongan untuk mula membuka perniagaan mereka dengan mengikuti SOP yang ditetapkan.
Menurutnya, syarikat agensi pelancongan masih tidak dibenarkan untuk beroperasi pada ketika ini.
Dengan memberikan kebenaran untuk membuka pejabat agensi pelancongan, SAFTTA percaya akan dapat membantu pihak kerajaan menyemarakkan kembali industri pelancongan.
SAFTTA juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang akan menyalurkan geran PEMULIH sebanyak RM3,000 kepada agensi pelancongan yang berdaftar dalam masa terdekat ini.
”Begitu juga kepada Kerajaan Selangor yang memberikan RM15,000 kepada persatuan-persatuan pelancongan di negeri Selangor.
”Bantuan-bantuan ini sangat bermakna kepada kami di dalam industri pelancongan memandangkan kami adalah yang paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette
















