Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan data dan maklumat berhubung Covid-19 di dalam negara untuk diakses oleh semua pihak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum ini KKM telah memuat naik data granular ke dalam GitHub yang mana data yang dimasukkan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

Data bagi vaksinasi oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) juga dimuat naik ke GitHub, katanya.

“Malaysia antara negara terawal yang berkongsi data secara terbuka. Namun, begitu paparan data di GitHub dirasakan lebih sesuai untuk mereka yang mahir dengan sains data.

“Oleh itu, bermula hari ini, seiring dengan hasrat saya untuk
lebih telus dalam perkongsian maklumat, KKM akan melancarkan laman web baru iaitu COVIDNOW,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Orang ramai kini boleh melihat data harian Covid-19 melalui lawam web CovidNow.moh.gov.my bermula hari ni yang baru diperkenalkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2021.

Khairy berkata, laman web itu boleh dilayari bermula pukul 6 petang hari ini di pautan https://COVIDNOW.moh.gov.my dan data harian terkini akan tersedia di laman tersebut selepas pukul 12 malam.

Katanya, laman web itu akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat umum dan pembangunan laman itu telah mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

“Saya berharap dengan data dan maklumat yang dikongsikan di GitHub dan juga COVIDNOW, masyarakat akan mempunyai pemahaman dan kesedaran yang lebih baik berkenaan situasi jangkitan Covid-19 di dalam negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast